Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Suhaimi Kamaralzaman (kanan) melawat galeri selepas pelancaran coffee table book yang berkisarkan sejarah perjalanan agensi itu dalam perkhidmatan air di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya pada 13 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Usaha industri guna air kumbahan jimatkan sumber air terawat

PETALING JAYA, 13 SEPT: Usaha sektor perindustrian menggunakan air loji kumbahan yang dirawat sejak tahun lalu membantu Selangor mendepani cabaran sebagai pusat kegiatan ekonomi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya akan memastikan penggunaan air pulih guna itu berkesan memandangkan jumlah pengguna yang kini kian meningkat.

“Tahun lepas kita guna air loji kumbahan ke industri, contohnya untuk sejukkan mesin. Kita mulakan dengan kerjasama Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

“Kita kenal pasti loji di Shah Alam, Setia Alam serta Pantai 2. Industri tak akan guna sepenuhnya air terawat. Kita berdepan cabaran besar kerana jumlah pengguna air boleh cecah 10 juta keseluruhan jika campur dengan penduduk Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berucap ketika melancarkan buku mewah (coffee table book) Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam memberi khidmat bekalan air sepanjang tiga tahun penubuhannya.

Majlis yang berlangsung di pusat beli-belah One Utama turut dihadiri Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Mansor Othman serta Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman.

Pada Mac 2021, Air Selangor dan IWK menandatangani perjanjian pemegang saham bagi memeterai usaha sama industri bekalan air pulih guna melalui Central Water Reclamation Sdn Bhd.

Syarikat itu ditubuhkan dengan misi menerajui pengoptimuman penggunaan sumber air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sedia ada di samping memelihara alam sekitar.


Pengarang :