Air Selangor membuat hebahan menyeru penduduk negeri ini memohon Skim Air Darul Ehsan bagi mendapatkan air percuma. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Usaha negeri disambut baik, lebih ramai nikmati air percuma

PETALING JAYA, 4 SEPT: Orang ramai menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri memperluas skim air percuma 20 meter padu bagi meringankan beban rakyat termasuk golongan berpendapatan sederhana (M40).

Suri rumah Nur Hidayah Mansor, 35, berkata usaha tersebut amat membantu terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat selain kenaikan harga barangan.

Nur Hidayah Mansor. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Apabila adanya inisiatif ini, ia beri kelegaan kepada semua sama ada berpendapatan rendah mahu pun sederhana kerana lebih ramai rakyat terima manfaat.

“Jadi, saya harap permohonan untuk menyertai skim ini dipermudahkan,” katanya kepada SelangorKini.

Pemandu van sekolah Nuriyan Mat Yon, 63, berkata beliau merupakan salah seorang penerima insentif tersebut sejak setahun lalu.

“Dengan adanya skim ini, bayaran bulanan air lebih rendah dan saya hanya perlu membayar kurang daripada RM30.

Nuriyan Mat Yon. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bagaimanapun, masih ada jiran-jiran yang belum mendaftar kerana ada sebahagian daripada mereka menyewa. Saya berharap pihak Kerajaan Negeri dapat membantu proses pendaftaran,” katanya.

Pada 30 Ogos, Dato’ Menteri Besar mengumumkan kira-kira 100,000 lagi akaun pengguna bakal menikmati skim air percuma 20 meter padu dengan kos lebih RM30 juta dibayar sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan tambahan itu berikutan had minimum pendapatan yang layak menerima manfaat tersebut dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM5,000.


Pengarang :