Wakil rakyat DUN Morib Hasnul Baharuddin meninjau gerai di Selangor Agro Market “Jawafest” di Dewan Orang Ramai Taman Sri Putra, Kuala Langat pada 3 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat anjur program jualan murah, ringan beban belanja penduduk

KUALA LANGAT, 3 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib menganjurkan Selangor Agro Market Jawafest 2022 bagi meringankan beban belanja penduduk dalam mendapatkan keperluan harian.

Wakil rakyatnya Hasnul Baharuddin berkata program bermula 9 pagi hingga 6 petang itu menjual barangan basah dan makanan kering seperti ayam, daging, telur, sayur dan buah-buahan pada harga lebih rendah dari pasaran.

“Harga sekilogram ayam di pasaran RM9.40 tetapi di sini kita tawarkan RM8. Begitu juga dengan daging RM35 sekilogram berbanding RM39 harga luar. Telur dijual RM12 sepapan.

“Penganjuran ini bertemakan Jawa kerana kita berhasrat memperkenalkan bangsa ini lebih meluas. Jadi selain barang basah, kita turut menjual makanan tradisi Jawa antaranya nasi ambeng dan ungkep,” katanya ketika ditemui hari ini.

Hasnul berkata program dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) itu melibatkan 30 peniaga dan bakal dilangsungkan ke beberapa lokasi lain selepas ini.

“Ini merupakan penganjuran kedua selepas kali pertama dilaksanakan di Kanchong Darat bulan lepas. Kedua-dua penganjuran ini mendapat sambutan memberangsangkan.

“Kita lihat masyarakat memerlukan bantuan seperti ini. Program ini memberi manfaat besar kepada penduduk terutama ketika isu kenaikan harga barang,” katanya.


Pengarang :