Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (tiga, kanan) menyerahkan cek cura bantuan banjir bernilai RM43,800 kepada Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong (empat, kanan) di Balairaya Kampung Jawa, Kerling, Hulu Selangor pada 27 September 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat bekal enjin sangkut, bantu siapkan bot hadapi bencana

HULU SELANGOR, 28 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu menyumbang enjin sangkut 20 kuasa kuda (kk) sebagai pelengkap kepada pembinaan sebuah bot untuk kegunaan semasa bencana.

Lee Kee Hiong berkata pemasangan enjin bernilai RM8,500 membantu mempercepat kerja memindah penduduk terjejas jika terdapat kemungkinan banjir susulan peralihan monsun timur laut.

“Enjin ini dipasang pada bot dikendalikan pasukan Bomba Sukarela Ulu Bernam Utara. Pergerakan menyelamat bukan sahaja jadi cepat tetapi lebih ramai penduduk dapat dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Jadi sekarang kelengkapan sudah sempurna memandangkan sebelum ini bot tiada enjin. Pejabat tanah dan daerah turut memberi sebuah treler,” katanya pada majlis penyerahan bantuan kepada 146 keluarga terjejas banjir di sini semalam.

Dalam majlis itu, Kee Hiong menerima cek cura bernilai RM43,800 daripada Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau turut menggesa penduduk berwaspada dengan ramalan fenomena itu selain memberi kerjasama jika diarah berpindah ke PPS demi keselamatan.

“Di Kerling tidak pernah berlaku banjir teruk sejak 20 tahun lalu sehinggalah yang terbaharu pada Mei baru-baru ini. Keadaan ini sudah tentu mengejutkan penduduk setempat.

“Bagaimanapun saya sudah minta pemimpin setempat memantau paras air Sungai Kerling dan segera hebahkan kepada penduduk jika air mulai naik.

“Semua PPS sedia dibuka untuk menempatkan mangsa banjir iaitu Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir termasuk dewan komuniti dan masjid,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Selangor mengalami peralihan monsun barat daya kepada monsun timur laut dengan kadar taburan hujan antara 100 hingga 400 milimeter(mm) bermula pertengahan bulan ini hingga Disember.

Dalam tempoh sama, fenomena air pasang besar juga dijangka berlaku di kawasan pesisir laut sepanjang Pelabuhan Klang dengan paras air laut tertinggi dijangka mencapai 5.5 meter.

Keadaan itu boleh menyebabkan air laut melimpah masuk ke kawasan penempatan penduduk selain risiko banjir jika bertembung dengan hujan lebat.


Pengarang :