Perwakilan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menghadiri Kongres Wanita sempena Kongres Nasional Tahunan KEADILAN ke-16 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 15 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wanita KEADILAN kemuka cadangan tingkat gaji, atasi keganasan rumah tangga

SHAH ALAM, 27 SEPT: Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mencadangkan beberapa langkah untuk mengangkat martabat wanita dalam pelbagai segmen termasuk menangani jurang sosioekonomi.

Cadangan itu ditimbulkan selepas perbincangan akar umbi parti bersama pakar dalam sesi dialog awam (townhall) pada Ahad lalu, yang turut menyentuh isu kemiskinan dan kesihatan mental.

“Dua tahun kebelakangan ini menunjukkan perlindungan sosial kurang diberi penekanan, menyaksikan ketidaksamaan struktur sedia ada dalam kalangan wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar dan Ketua Wanita Fadhlina Sidek.

Antara langkah dicadangkan ialah:

1. Sistem keselamatan sosial menyeluruh dengan meluluskan Rang Undang-Undang Profesion Pekerja Sosial untuk mengiktiraf, mengawal selia dan melindungi pekerja sosial

2. Memperkenal sistem penjagaan kanak-kanak dalam komuniti bagi memberi keseimbangan wanita bekerja dan menjalani kehidupan sosial

3. Memastikan proses kehakiman adil melalui mahkamah sivil dan syariah terutama dalam kes keganasan rumah tangga

4. Mencipta peluang kerja bersesuaian yang menyasar graduan wanita berkemahiran tinggi dan gaji permulaan sepadan kelayakan

5. Meningkatkan dasar perlindungan kanak-kanak untuk mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa gangguan seksual dalam talian

6. Melaksana belanjawan mengambil kira keperluan jantina merentas semua kementerian dan agensi


Pengarang :