Lembaga Zakat Selangor (LZS) turun padang bagi mengesan keluarga yang memerlukan dan layak didaftarkan sebagai golongan asnaf dalam program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK). Foto Facebook LZS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Zakat Selangor turun padang, jejak keluarga susah di Hulu Langat

SHAH ALAM, 26 SEPT: Sebanyak 60 keluarga dikenal pasti layak menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) di Hulu Langat pada Sabtu lalu.

Zakat Selangor menerusi Facebook memaklumkan mereka merupakan penduduk kariah Masjid At-Taqwa, Bandar Bukit Mahkota, Masjid Bandar Seri Putra dan Masjid Sungai Kembong Hilir.

“Melalui operasi ini, siasatan secara terus dijalankan bagi menyemak keperluan berdasarkan haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan) keluarga yang terlibat.

“Seterusnya, keluarga yang layak didaftarkan sebagai asnaf, akan disantuni dengan bantuan zakat seperti bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan, bantuan ramadan dan raya serta bantuan lain bergantung kepada keperluan semasa keluarga tersebut,” katanya.

Selain itu, aktiviti turun padang turut menjejaki keperluan lain bagi umat Islam di kawasan sekitar melalui agihan wang zakat kepada asnaf gharimin dan fisabilillah.

“LZS turut menjalankan semakan status terkini keluarga asnaf fakir dan miskin sedia ada bagi memastikan bantuan zakat yang disalurkan bertepatan dengan keperluan sesebuah keluarga,” katanya.

Operasi SJK turut mendapat kerjasama daripada Penolong Amil Kariah (PAK) LZS. Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.


Pengarang :