Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar (tengah) bergambar bersama peserta program latihan pembangunan usahawan mikro di Dewan Kenanga MBSJ, Subang Jaya pada 13 Oktober 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

100 peniaga MBSJ sertai kursus usahawan, dilatih beralih ke platform digital

SUBANG JAYA, 13 OKT: Seramai 100 peniaga kecil bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyertai program latihan pembangunan usahawan mikro hari ini.

Program dengan kerjasama Platform Selangor (Plats) memberi pendedahan kepada peniaga pasar pagi, pasar malam dan penjaja berhubung kepentingan beralih ke platform digital .

Datuk Bandarnya Dato’ Johary Anuar berkata program itu turut membantu peserta beralih kepada pembayaran tanpa tunai selari dengan hasrat Kerajaan Selangor mencapai status negeri pintar menjelang 2025.

“Selain itu, peniaga diberi bantuan platform pesanan dalam talian termasuk tips penyediaan media sosial yang efektif,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program berkenaan di ibu pejabat MBSJ di sini.

Selain Plats, program berkenaan turut disokong Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah), Maybank Berhad, OCBC Bank (Malaysia) Berhad, Mynuu, Retort Lab, Best Marketing and Distributors Sdn Bhd.

Turut serta Teck Hunter Global Sdn Bhd, Data Internet Selangor, Mesin Kira dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) Selangor.

“Saya berterima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan sinergi yang menjayakan program ini. Diharap usaha membantu mendigitalisasi golongan sasaran berjalan lancar dengan kerjasama erat ini,” kata Johary lagi.

Berlangsung dari 8 pagi hingga 1 petang, program terbahagi kepada enam sesi meliputi asas pendigitalan perniagaan, pengenalan Plats, proses pemilikan lesen perniagaan, adaptasi transaksi pembayaran tanpa tunai, proses pengurusan pesanan dalam talian dan pengurusan media sosial.


Pengarang :