Pasukan Malaysia National Team pada majlis memperkenalkan pasukan sempena jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 di sebuah hotel pada 10 Okt 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

120 pelumba profesional LTdL jelajah lapan negeri termasuk Selangor

SHAH ALAM, 11 OKT: Majlis pengenalan 20 pasukan yang bertanding pada perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 berlangsung penuh meriah di Hotel Concorde malam tadi.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta dihadiri penaung LTdL Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sejumlah 120 pelumba mewakili 20 pasukan berstatus jelajah profesional dunia, profesional benua, benua dan pasukan kebangsaan, bakal memberikan saingan sengit pada edisi kali ini yang akan meliputi jarak keseluruhan perlumbaan 1,096.9 kilometer (km), membabitkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

LTdL 2022 akan bermula dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur dengan jarak 157.3km, diikuti laluan Kuala Klawang-Raub (178.9km), Putrajaya-Genting Highlands (123.7km), Sabak Bernam-Meru Raya (137.9km), Kuala Kangsar-Kulim (172.0km), Georgetown-Alor Setar (120.4km), Kuah-Gunung Raya (90.8km) dan berakhir di Kuah-Loop Langkawi (115.9km).

LTdL membuka tirainya esok dengan perlumbaan Peringkat 1 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur yang menyediakan tiga zon pecutan di Senaling, Rembau dan Senawang serta lima zon pendakian membabitkan Senaling, Bukit Miku, Mantin, Tekali dan Look Out Point Ampang.

-BERNAMA

 


Pengarang :