Petugas melakukan penyemburan asap (fogging) bagi mencegah pembiakan jentik-jentik dan nyamuk Aedes ketika tinjauan keadaan di sekitar kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

1,474 kes, 28 kematian akibat demam denggi minggu lalu

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Kementerian Kesihatan melaporkan sebanyak 1,474 kes demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-40 iaitu dari 2 hingga 8 Oktober ini berbanding 1,460 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan itu menjadikan kumulatif kes demam denggi dilaporkan sehingga kini sebanyak 45,018 kes berbanding 20,376 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan 24,642 kes (120.9 peratus).

Beliau berkata kumulatif kematian turut meningkat 100 peratus dengan 28 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 14 kematian bagi tempoh sama tahun lepas.

“Sebanyak 53 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 55 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 31 lokaliti hotspot berada di Selangor, 14 lokaliti di Sabah dan lapan lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata survelan chikungunya pula merekodkan tiga kes pada ME ke-40 dengan dua kes di Selangor dan satu kes di Kedah, menjadikan kes kumulatif sehingga kini adalah sebanyak 652.

Sementara itu, survelan zika merekodkan sebanyak 1,544 sampel darah dan 16 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Dalam pada itu, beliau berkata setiap individu perlu memastikan tiada bekas yang berpotensi menakung air di persekitaran rumah serta melupuskan barang lusuh atau tidak digunakan di tempat pelupusan secara berhemah bagi mengelak pembiakan nyamyuk Aedes.

Justeru, Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai untuk melakukan aktiviti ‘Cari dan Musnah’ bekas-bekas pembiakan nyamuk Aedes sejurus selepas air banjir surut sekiranya terjejas dengan bencana banjir.

Ini kerana sampah sarap yang dibawa air banjir dikhuatiri boleh menakung air dan seterusnya menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, katanya.

“Selain itu juga, elakkan diri daripada gigitan nyamuk Aedes dengan penggunaan bahan repelan, semburan aerosol di tempat tersembunyi serta memakai pakaian yang menutup anggota badan. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :