Bengkel pelan strategik operasi bantuan bencana sebagai persiapan menghadapi monsun Timur Laut 2022 di Dewan Serbaguna USJ 7, Subang Jaya pada 5 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

150 peserta jayakan bengkel operasi bantuan bencana MBSJ

SUBANG JAYA, 5 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menganjurkan bengkel operasi bantuan bencana sebagai persiapan menghadapi peralihan monsun timur laut yang disertai seramai 150 peserta.

Bengkel dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dan polis membabitkan penyertaan wakil komuniti, anggota badan beruniform dan badan kerajaan.

Datuk Bandar Subang Jaya berkata penganjuran itu menyasar pembangunan pelan operasi strategik bantuan bencana yang akan dibukukan sebagai panduan utama ketika mengurus bencana.

“Kita juga mahu memanfaatkan kemudahan sistem informasi eksekutif (EIS) bagi memperinci pelan berkenaan berdasarkan kawasan berisiko yang dipetakan.

“Pada masa sama bengkel ini berhasrat memperkasa kerjasama rentas agensi bagi mengelak pertindihan tugas ketika operasi bantuan,” kata Dato’ Johary Anuar hari ini.

Bercakap pada sidang media di Dewan Serbaguna MBSJ USJ7 di sini, beliau berkata bengkel itu turut menekankan tatacara operasi piawai (SOP) di pusat pemindahan sementara (PPS), lokasi selamat pemindahan dan penempatan sementara kenderaan penduduk.

Tambah beliau, SOP itu termasuk kawasan yang perlu dikawal keluar masuk kenderaan, tempat berkumpul agensi keselamatan dan pasukan penyelamat serta lokasi aset penyelamat.

“Diharap ia menambah keyakinan kepada semua agensi untuk mengambil tindakan sewajarnya jika berlaku bencana selain meningkatkan kecekapan dan kepantasan bantuan,” katanya.


Pengarang :