Kanak-kanak kelainan upaya mengikuti sesi pembelajaran di Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) Seksyen 7, Shah Alam ketika tinjauan pada 6 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

17 kanak-kanak istimewa sertai program prasekolah khas negeri

SHAH ALAM, 5 OKT: Seramai 17 kanak-kanak istimewa mengikuti program prasekolah di Pusat Anak Istimewa Selangor (AnIS), kata ketua jabatannya.

Danial Al-Rashid Haron berkata kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun itu mendapat pendidikan akademi sama seperti di tadika lain iaitu membaca dan mengira.

“Kanak-kanak ini belajar dan menerima pendidikan seperti di tadika luar kerana tujuan utama program ini diwujudkan adalah sebagai persiapan masuk ke sekolah rendah.

“Setakat ini, jumlah kanak-kanak adalah 17 orang dengan operasi melibatkan 12 guru dan seorang pakar terapi melibatkan sesi pagi sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Danial, pihaknya akan mengadakan sesi temuduga pada bulan ini untuk kemasukan fasa kedua bagi melengkapkan 40 kanak-kanak.

“Mereka semua ini akan ditempatkan di lima kelas dengan maksimum lapan kanak-kanak. Namun, sekiranya ada kanak-kanak perlukan lebih perhatian, jumlahnya akan dikurangkan,” katanya.

Program prasekolah khusus untuk anak istimewa berusia lima hingga enam tahun kendalian AnIS di pusat sokongan bertempat di Seksyen 7 di sini.

Seramai 80 pelajar anak istimewa menjadi kumpulan pertama program prasekolah yang menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan untuk golongan berkeperluan khas.

Program itu terbuka kepada semua anak istimewa kelahiran Selangor bagi kategori kurang upaya pembelajaran dan boleh mendaftar di pautan www.anisselangor.com/prasekolahanis .

Bagi anak istimewa berusia dua hingga empat tahun boleh mendaftar bagi program intervensi di www.anisselangor.com/intervensianis .

Sebarang pertanyaan hubungi Pusat AnIS di talian 03-55453170.


Pengarang :