Kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memunggah bekalan makanan dan minuman untuk diedarkan kepada mangsa banjir di Dewan Dahlia Seksyen 24 Shah Alam pada 19 Disember 2021. Foto Twitter MBSA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

1,700 kakitangan MBSA siap sedia hadapi banjir, proses PRU15

SHAH ALAM, 11 OKT: Seramai 1,700 kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) siap sedia menghadapi kemungkinan banjir dan pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata timbalan datuk bandar.

Mohd Rashidi Ruslan berkata daripada 1,700 kakitangan itu, 60 peratus daripadanya bersedia untuk menghadapi banjir, selebihnya dipersiap untuk proses PRU15.

“Pada tahun ini, kita menghadapi dua peristiwa besar iaitu persediaan banjir dan pilihan raya umum. Bagaimanapun, pilihan raya umum bukan alasan tidak bersedia dengan banjir.

“Daripada 1,700 kakitangan, 60 peratus daripadanya sedia untuk banjir manakala selebihnya untuk pilihan raya umum. MBSA sentiasa sedia dengan sebarang kemungkinan dan akan ikut arahan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang media selepas hadir ke pembentangan Bajet 2023 yang bertemakan Shah Alam Lestari dan Tahan Uji di Wisma MBSA di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Rashidi berkata MBSA akan mengadakan simulasi banjir bersama ahli majlis, perwakilan penduduk dan agensi keselamatan seperti bomba dan polis pada 19 Oktober depan.

“Simulasi di peringkat negeri sudah selesai dan kini kita mahu melaksanakan di peringkat komuniti pula terutama membabitkan wakil penduduk.

“Simulasi ini dijangka disertai 200 individu itu dianjur supaya mereka memahami tanggungjawab dan peranan masing-masing jika banjir berlaku,” katanya.

Pada 28 September lalu, sebanyak 67 agensi membabitkan 343 peserta terlibat dalam Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor yang berlangsung selama dua hari di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini.

Simulasi itu merupakan inisiatif dalam memastikan semua agensi terlibat bersiap sedia dari aspek perkhidmatan, peralatan dan aset bagi menghadapi apa jua bencana.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengenal pasti lapan daerah di Selangor sebagai lokasi kerap banjir iaitu Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.


Pengarang :