Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas murah sempena Jualan Ehsan Rakyat di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 14 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

2,000 ayam segar menanti pengunjung jualan murah di Jelajah Selangor Penyayang Sabak Bernam

SABAK BERNAM, 14 OKT: Jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berlangsung dua hari sehingga esok sempena penganjuran Jelajah Selangor Penyayang di daerah ini.

Sebanyak 2,000 ayam standard dijual mulai hari ini bagi menampung keperluan pengunjung untuk mendapatkan bekalan pada harga murah, kata penolong pengurus sektor perniagaan dan pemasaran PKPS.

Menurut Mohd Hasri Abu Hassan, agensi turut menjual 1,200 papan telur, beras 5 kg dan minyak masak 5 kg sepanjang program yang berlangsung di Stadium Sungai Besar, dekat sini.

Pengurus Sektor Perniagaan dan Pemasaran PKPS Mohd Hasri Abu Hassan membantu petugas membungkus barangan asas kepada pembeli sempena Jualan Ehsan Rakyat di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 14 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ini merupakan Jelajah Ehsan Rakyat pertama yang dibuat secara besar-besaran di program JSP. Kita jangkakan ramai penduduk akan memanfaatkan peluang ini jadi kita sediakan bekalan secukupnya,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Hasri berkata waktu jualan juga dilanjutkan sehingga petang berbanding ketetapan sebelum ini antara 9 pagi hingga 1 tengah hari.

“Ayam dijual RM10 seekor selain daging segar per pak dan telur gred B. Turut dijual ikan kembung atau selayang (RM6 setiap pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10),” katanya.

Petugas menyediakan barangan asas kepada pembeli sempena Jualan Ehsan Rakyat di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 14 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk program tersebut di 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember melibatkan 160 lokasi.

Hari ini, JSP fasa dua diadakan bermula di daerah ini bertemakan Menjana Ekonomi Manusiawi bagi memperkenal pelbagai inisiatif baharu dan ditambah baik untuk rakyat.

Pada 22 dan 23 Oktober, jelajah akan diadakan di Padang Sultan Sulaiman, Klang bertemakan Membina Keluarga Penyayang manakala di KIP Sentral, Sepang pada 29 dan 30 Oktober dengan tema Menjamin Kehidupan Bermartabat.

Sementara pada 5 dan 6 November, acara tersebut dijadual berlangsung di Persiaran As Salam, Hulu Selangor bertemakan Membudaya Kesihatan Berkualiti.


Pengarang :