Sanggaumang dan isterinya Masni anak Rimau menyertai Platform Selangor (PLATS) bagi meluaskan lagi rangkaian perniagaan mereka secara digital pada program ‘Walkabout’ PLATS ke Pasar Budaya Borneo Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Seri Kembangan, Subang Jaya pada 20 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

2,275 penjaja di MBSJ perluas niaga dalam platform digital negeri

SUBANG JAYA, 13 OKT: Seramai 2,275 penjaja dan peniaga kecil bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berdaftar dengan Platform Selangor (Plats) setakat akhir bulan lalu.

Datuk Bandarnya Dato’ Johary Anuar berkata jumlah itu hampir memenuhi sasaran 3,000 peniaga menjelang akhir tahun untuk membantu mereka meluaskan rangkaian perniagaan.

“Jadi kita menyeru kepada semua peniaga supaya jangan melepaskan peluang untuk memasarkan perniagaan melalui Plats kerana ia percuma.

“Selain memberi peluang kepada peniaga meluaskan rangkaian perniagaan, penyertaan dalam Plats juga membantu pemain industri mempromosi produk digital yang dibangunkan,” katanya ditemui selepas melancarkan latihan pembangunan usahawan mikro di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Datuk Bandar MBSJ Mohd Zulkurnain Che Ali dan Pengurus Jabatan Digitalisasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Siti Nur Hazwani Md Sabudin.

Antara program dijalankan sejak Januari ialah program pendigitalan bazar Ramadan Bandar Kinrara 5, perasmian Plats 3.0, program pendigitalan medan selera di USJ1 dan jejak peniaga.

Turut diadakan program pendigitalan Pasar Tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dan jelajah Plats bersama Rakan Digital Selangor.

Plats diperkenal dua tahun lalu bagi melengkapkan ekosistem agenda pendigitalan Selangor susulan penularan Covid-19 dan ditambah baik bagi memastikan peniaga menjana pendapatan sepanjang masa.

 


Pengarang :