Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han bergambar bersama peserta ketika hari terakhir program pembuatan kraf tangan wau anjuran Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) pada 9 Oktober 2022. Foto Facebook Pekawanis
AGENSISELANGOR

25 peserta pelbagai kaum sertai program buat wau anjuran Pekawanis

SHAH ALAM, 12 OKT: Seramai 25 peserta pelbagai kaum menyertai program pembuatan kraf tangan wau anjuran Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Dewan Undangan Negeri Kinrara pada 8 dan 9 Oktober.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata penyertaan masyarakat dari umur 13 hingga 50 tahun menggambarkan semangat mencintai kraf tangan dan seni budaya masih subur.

“Ini menggambarkan semangat mencintai kraf tangan dan seni budaya seperti Wau masih subur bukan sahaja daripada masyarakat Melayu tetapi India dan Cina yang sudi menghabiskan cuti hujung minggu untuk menimba ilmu kesenian ini,” katanya ketika merasmikan majlis pembukaan program tersebut di Subang Jaya.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad (tengah) dan Timbalannya Lim Bee Eng (kanan) bergambar bersama sebahagian daripada peserta program pembuatan kraf tangan wau anjuran Pekawanis pada 8 Oktober 2022. Foto Facebook Pekawanis

Program yang mendapat sokongan Pusat Khidmat DUN Kinrara itu turut dihadiri Ahli Dewan Negerinya Ng Sze Han.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertuanya Lim Bee Eng berkata pihaknya berhasrat mengembangkan program keseniaan seumpama itu agar adat dan budaya setiap bangsa dapat dirai bersama selain merapatkan hubungan antara kaum.

“Program yang menarik dan Pekawanis akan melihat potensi untuk terus mengembangkan program yang berkait rapat dengan adat dan budaya setiap bangsa di Malaysia agar kita dapat merapatkan bukan sahaja jurang antara kaum tapi juga umur,” katanya ketika majlis penutup program berkenaan pada 9 Oktober.


Pengarang :