Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni penerima Surat Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Borang 5A) Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak selepas majlis penyerahan surat kelulusan tersebut sempena Jelajah Selangor Penyayang di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Benam pada 14 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

30 tahun menanti, penduduk Sungai Besar gembira dapat milikan tanah

SABAK BERNAM, 14 OKT: Penantian puluhan tahun penduduk Parit 8 1/2 Barat, Sungai Besar untuk mendapat milikan tanah terlerai apabila hasrat mereka tertunai hari ini.

Asari A Hamid, 63, yang menunggu selama 30 tahun bersyukur tanah yang didiami kini sah menjadi miliknya apatah lagi dia hanya perlu membayar kadar premium yang rendah.

Asari A Hamid dan adiknya Shamsuri gembira setelah menerima Surat Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Borang 5A) Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Benam pada 14 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya dimaklumkan tentang penyerahan notis ini tiga hari lalu dan amat gembira dengan berita baik ini. Saya menunggu lama kerana tidak mempunyai harta dan kini tidak perlu risau lagi.

“Biarpun kini tidak dapat melihat kerana urat saraf mata rosak, saya bersyukur menerimanya dan pemberian lebih bermakna kerana adik turut menerimanya,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Supiah Ahmad, 80, yang menetap di kawasan itu sejak berkahwin sekitar tahun 70-an gembira menerima notis tersebut meskipun kehilangan suami tujuh tahun lalu.

“Perasaan tidak dapat digambarkan kerana surat milikan diterima ini sangat menggembirakan. Banyak usaha dilakukan di atas itu seperti menanam pokok koko untuk dijadikan hasil pendapatan.

Penerima Surat Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Borang 5A) Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak, Supiah Ahmad. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar kerana sudi membantu,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan borang 5A kepada 73 penduduk kawasan berkenaan dalam sebuah majlis di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Pekan Sabak.

Amirudin dalam ucapannya memaklumkan lebih 85,000 surat permohonan Notis 5A diluluskan Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat sejak 2008.


Pengarang :