AGENDAJENAYAH

33 tong berisi cecair kimia ditemui di Gopeng

IPOH, 31 OKT: Sebanyak 33 tong berisi cecair bahan kimia ditemukan di kawasan lapang berhampiran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng dekat sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata kesemua tong itu yang didapati mengalami kebocoran dipercayai telah dibuang secara haram pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jurucakap itu berkata pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 5 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian dengan dibantu BBP Simpang Pulai dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Pasir Puteh.

“Kesemua tong didapati telah bocor dan setiap tong mengandungi 20 peratus cecair di dalam tong tersebut yang mengandungi  ‘SW 402/ UN 1760 Schedules Waste’ di dalam tong tersebut.

Pasukan bomba membuat penilaian dan membuat kepungan di kawasan itu sebagai langkah berjaga-jaga selain pihak Hazmat BBP Pasir Puteh membuat ‘pengesanan dan persampelan di tempat kejadian. Operasi  diteruskan dengan menutup cecair terdedah dengan pasir,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Jurucakap itu berkata pengesanan dilakukan sekali lagi bagi memastikan tiada lagi bahan berbahaya di kawasan tersebut dan operasi yang turut dibantu pihak polis dan Jabatan Alam Sekitar itu tamat sepenuhnya pada 8.35 malam ini.

— BERNAMA

 


Pengarang :