Kerajaan Selangor juga menyalurkan bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun kepada keluarga kurang berkemampuan yang terbeban dengan kenaikan kos sara hidup. Foto ARKIB SELANGORKINI
ADNSELANGOR

337 penduduk DUN Permatang terima bantuan bulanan RM300

SHAH ALAM, 26 OKT: Seramai 337 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang menerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) berjumlah RM3,600 setahun.

Wakil rakyatnya Rozana Zainal Abidin berkata sebahagian besar daripada penerima bantuan RM300 sebulan itu adalah pemohon baharu.

“Permohonan keseluruhan adalah seramai 1,500 pemohon. Kuota bagi DUN Permatang hanya 337. Sepuluh peratus merupakan penerima Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang terdahulu,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Rozana berharap Bingkas diperluas kepada lebih ramai penduduk terutama ke kawasan Anjung Utara Selangor.

Bingkas dilancarkan pada akhir Jun bakal memanfaatkan 30,000 keluarga membabitkan peruntukan RM108 juta.

Program sebahagian daripada 44 insentif Iltizam Selangor Penyayang (ISP) itu membolehkan penerima mendapat bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.


Pengarang :