Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama anggota bomba selepas majlis pelancaran kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berdepan monsun timur laut di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam pada 12 Oktober 2022. Turut serta Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

40 ahli Serve Rescue jalani latihan hadapi banjir dengan bomba

SHAH ALAM, 12 OKT: Ahli Sukarelawan Selangor (Serve) Rescue menjalani latihan asas berdepan bencana banjir bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor selama empat hari mulai esok.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kumpulan itu juga diberi latihan mencari dan menyelamat supaya boleh membantu negeri pada masa depan.

“Mereka turun membantu sekiranya berlaku kejadian banjir. Dalam masa sama bomba sudah kenal pasti pasukan sepenuh masa, bomba sukarela, bomba komuniti dan pasukan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.

Beliau ditemui di majlis pelancaran kesiapsiagaan JBPM Selangor menghadapi Monsun Timur Laut di Balai Bomba Seksyen 15 di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memakaikan jaket keselamatan kepada Bomba Komuniti ketika majlis pelancaran kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berdepan monsun timur laut di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam pada 12 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis berkata 40 peserta dari kalangan belia itu turut dilatih Pasukan Penyelamat Dalam Air bagi mengendalikan mangsa banjir.

“Mereka juga diberi latihan asas bantuan pernafasan awal selain menjalani latihan lombong di Puchong bagi memahami situasi sebenar nanti,” katanya.

Sebelum ini Serve Rescue dikenali sebagai Serve Elit dan Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100,000 bagi penubuhan pasukan berkenaan.

Tawaran ahli terbuka kepada warga tempatan berusia 18 hingga 45 tahun, sihat tubuh badan tanpa kecacatan fizikal, boleh membaca dan menulis serta berminat menjalankan tugas sukarela dan aktiviti kemasyarakatan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memeriksa aset keperluan untuk kegunaan banjir ketika majlis pelancaran kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berdepan Monsun Timur Laut di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam pada 12 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :