Pekerja kontraktor KDEB Waste Management (KDEBWM) membersihkan sampah dalam longkang ketika program Pembersihan Mega di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 8 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

50 lokasi berisiko bah, KDEBWM giat bersihkan longkang elak tersumbat

SHAH ALAM, 3 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) mengenal pasti lebih 50 kawasan sensitif di seluruh negeri dan berisiko dinaiki air jika hujan lebat berterusan.

Antara lokasi terlibat ialah 14 di Klang, masing-masing sembilan di Hulu Langat dan Sepang, Gombak (lapan), Petaling (lima) dan Kuala Selangor (empat), kata pengarah urusannya.

Menurut Ramli Mohd Tahir, kesemua kawasan terbabit dikelaskan sebagai titik panas (hotspot) berikutan berhampiran sungai selain bentuk muka bumi yang rendah.

“Oleh demikian, KDEBWM mengambil tindakan segera dan konsisten dengan membersihkan longkang dan mengangkat sampah pukal setiap minggu supaya air mengalir dan tiada yang tersumbat,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan pihaknya sedang berbincang dengan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mewujudkan mini stesen pemindahan sementara sisa pepejal jika berlaku banjir.

“Sekiranya banjir, kita sudah ada lokasi sesuai dan boleh diaktifkan untuk operasi pembersihan. Ini sebahagian persediaan lebih sistematik berbanding banjir tahun lepas,” kata Ramli lagi.

Pada Disember tahun lalu, sebanyak 186 kawasan di Selangor dilanda bah berikutan taburan hujan luar biasa antara 100 hingga 400mm secara berterusan selama beberapa hari.

Berikutan itu, KDEBWM, anak syarikat negeri yang menguruskan sepenuhnya kutipan sampah domestik membersihkan 78,000 tan sampah pukal dengan kerjasama PBT dan agensi lain.


Pengarang :