BUDAYARENCANA

=

Oleh: M.Emir

“ Setiap hari/ Saya makan Chicken Chop/ menggunakan garfu-garfu pengalaman/ & /sudu-sudu keangkuhan/ kentang-kentang manusiawi/ dimasukkan ke bibir [ bibir saya adalah bibir bangsawan…..]/lalu saya kunyah hingga lumat/ & / nasib manusiawi sama seperti Sungai Kim-Kim/ ter/dircemar — & — mengambil waktu yang agak lama/ Untuk memuliharanya kembali. & / bangsawan bukan sajak-sajak Sapardi yang kekal.”

[…]

Saya terbaca satu petikan sajak daripada seorang penulis kontroversi di negara awak, iaitu, M. Emir. Awak terkejut apabila penulis itu dikenali saya. Saya agak rapat dengan puisi daripada penulis itu kerana bentuknya baik sekali. Bukan sahaja metaforanya berbau senjata tajam, tetapi, mesejnya itu lebih panas daripada api jika diteliti. M. Emir terkenal dengan sikap tidak tahu matinya itu. Dia cuba bereksperimen dengan pelbagai kaedah untuk mengkritik tajam sesiapa sahaja yang tidak menghormatinya sebagai manusia dan sebagai manusia yang wujud dan hidup dan cergas dan cerdas dan membawa humour gelap di atas muka bumi ini. Ramai yang bimbang akan kebangkitan penulis kontroversi ini, tetapi, ada juga manusia-manusia daripada bawah tanah yang duduk di kasta terbawah dalam hierarki negara awak menyokongnya.

Saya tidak pernah lagi menulis puisi [ tetapi ] saya terfikir juga untuk hasilkan puisi-puisi yang menampilkan metafora dan hiperbola berbau sindiran tajam. & Sebenarnya pembacaan saya tidak lebih sekadar untuk proses menulis/ & / saya hayatinya dengan benar-benar hayati.

[…]

Suatu hari saya mengambil kertas yang separa dimakan anai-anai (bukannya saya miskin papakedana hina dina, bukan! Tetapi sengaja & saya tidak dapat mengungkapkan alasan kesengajaan ini kepada awak.) Saya cuba menulis sajak seperti M. Emir untuk mengkritik burung yang selalu mengeluarkan najisnya di hadapan rumah ketika saya baru sahaja membersihkannya. Ah, burung pipit yang nakal sekali, ya?

“Najis-najis kesombongan/ ditembak tepat ke halaman rumahku/ menangkapmu/ lalu aku melihatmu, tetapi terbang lari, pergi,/ meninggalkan aku & amarah/ & memaksaku/ membersihkan/ halaman rumah: (h)alam(an)ku : ya(h)!

[…]

Saya cuba menulis sebagus M. Emir tetapi ia tidak menepati piawaian yang ditetapkan saya. Saya kemudiannya merenyuk kertas itu lalu membuangnya dalam tong sampah bewarna merah kekuning-kuningan [mungkin warnanya kesan sampah itu sendiri].

Dan, saya mengambil pen lalu membiarkan kamar kerja memakan tubuh saya dan saya menulis hingga terlupa melihat jam dan terlupa untuk makan dan terlupa untuk tidur. Tetapi, abracadabra! : hasilnya = tiada. Saya hanya menanda (X) besar-besar seperti ini pada kertas yang belum sempat saya renyuk kerana kesilapan menulis.

“X”

Malangnya tiada satu pun tanda yang menunjukkan saya berpuas hati dengan hasil kerja saya.

[…]

Saya lantas menumbuk kamar supaya dia memuntahkan saya kembali. Saya tahu saya hanya beri analogi kepada awak, jadi awak tertanya-tanya kepada saya. Saya gelak comel seperti seorang perempuan remaja yang baru sahaja mengenal erti cinta.

[…]

Awak : APA MAKSUD AWAK? [Nada awak sedikit tinggi daripada kebiasaan.]
Saya : haha. Oh, A. Saya main-main sahaja. Iti hanya analogi!

[…]

Saya keluar dan melihat jam sudah menunjukkan jam 0001.

Saya mahu menjadi nokturna pada hari ini dengan menelaah buku M. Emir. Buku ‘nokturna’[karim] berada di sebelah buku M. Emir. Saya mahu membaca Nokturna apabila mempunyai masa berlebihan tetapi buat masa ini buku M. Emir yang berjudul Pegasus yang terpecah di tengkuk si haloba menjadi pilihan saya.
Ini sebuah buku yang menakjubkan! hati saya tergerak untuk memujinya secara tidak sengaja.

[…]

Puisi M. Emir banyak dipengaruhi oleh Jack Malik [ penyajak daripada negara awak ] & Wan Nor Azriq [ Novelis/Cerpenis berbakat besar di negara awak]

[…]

Awak mendengar tekun (masih setia dengan telinga awak).

Saya meneruskan ke sajak eksperimentalnya.

“Pada suatu hari sajak akan menjadi sajak & bukan sajak akan menjadi sajak & sajak akan mengkritik sajak/ & bukan sajak akan mengkritik sajak/ & sajak tak akan lagi membawa maksud sajak/ & salam ?; ya, salam takziah wahai sajak ”

Saya tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan sajak ini. & Saya teringat kembali kata orang yang M. Emir adalah penulis kontroversi. Tetapi, saya tidak tahu sejauh manakah kebenaran itu kerana awak (dan saya) tentunya tahu setiap manusia mempunyai cara berfikir yang berbeza. Barangkali M. Emir mahu menyampaikan sesuatu dengan cara yang paling asing.

Hei, awak masih di sana? Ya, Awak menjawab awak masih mendengar & saya mahu cerita bahawa penulis dari negara awak ini memang sangat hebat & tekun & memang tak wajar awak panggilnya sebagai penulis kurang siuman & kontroversional. Itu memang kurang ajar bagi telinga saya.

Awak tekun mencatat. & pembaca mesti tertanya-tanya bagaimana kami berbual. & sebenarnya awak = awak, saya = M. Emir. Ini sajak-sajak saya dan saya menggemari saya dan saya teringin menjadi orang lain semasa menjadi saya.

[…]

Sebelum naratif ini dibakar, saya mahu awak tahu, saya penyajak jalanan yang sering saja dianggap kurang siuman, tak apa, ingat kata-kata saya, bukan?

`”Sajak pernah melemaskan saya daripada kenyataan.”

Awak adalah orang pertama yang tahu ke mana saya menghilang sebab awak pembaca. & ini adalah cerita kita sahaja, ya? Jangan cari saya kerana ini adalah sajak/cerpen terakhir saya. Ambillah kata-kata saya, suatu hari nanti, semua dianggap sajak.

 


Pengarang :