Sebahagian ibu yang menerima hamper kelengkapan bayi sempena ulang tahun Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ke-22 pada 10 Oktober 2022. Foto MBSA
PBT SELANGOR

60 bayi baru lahir terima hamper sempena ulang tahun MBSA

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SHAH ALAM, 11 OKT: Seramai 60 bayi yang lahir di tiga hospital di bandar raya ini menerima sumbangan hamper sempena ulang tahun Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ke-22 semalam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata hamper bernilai RM150 diagihkan ke Hospital Shah Alam, Avisena Women’s & Children’s Specialist Hospital dan KPJ Selangor Specialist Hospital.

Menurut Shahrin Ahmad program itu merupakan salah satu aktiviti sempena sambutan ulang tahun MBSA yang dinaik taraf kepada Majlis Bandaraya pada 10 Oktober 2000.

“Pemberian hamper ini amat bermakna sebagai tanda kesyukuran dan berkongsi kegembiraan bagi meraikan kelahiran bayi pada tarikh 10 Oktober 2022,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah inisiatif lain juga ditawarkan sepanjang bulan ini antaranya kempen pengurangan kompaun RM10 dan kompaun terpilih sebanyak 70 peratus serta promosi keahlian percuma bagi perpustakaan MBSA.

“Tempat letak kereta percuma turut diberikan hari ini di Bangunan Wisma MBSA dan hub stesyen komuter Seksyen 19,” katanya.


Pengarang :