Sebahagian daripada 60 pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) giat membersihkan longkang sekitar Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam pada 16 Oktober 2022. Foto Facebook KDEBWM
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

60 pekerja KDEBWM bersih longkang, pungut sampah sarap elak bah berulang di Sri Muda

SHAH ALAM, 18 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) selesai membersihkan longkang dan memungut sampah sarap bagi memastikan sistem saliran sekitar Taman Sri Muda lancar.

Syarikat pengurusan perkhidmatan sisa pepejal dan pembersihan awam negeri berkata program pada 16 Oktober itu sebagai persediaan awal mencegah banjir di kawasan berkenaan ketika musim tengkujuh hujung tahun ini.

“Kawasan ini merupakan antara kawasan ‘hotspot’ banjir, justeru langkah awal bagi pembersihan longkang dan sampah sarap di sekitarnya amat wajar dilakukan,” katanya di Facebook.

Dalam program berkenaan, seramai 60 pekerja KDEBWM membersihkan longkang di empat zon termasuk menyediakan 30 tong Roll On Roll Off (RORO) untuk mengisi sampah sarap yang dipungut.

Sebelum ini, KDEBWM memaklumkan pihaknya bersiap siaga dengan lebih 1,800 anggota bagi menghadapi kemungkinan banjir hujung tahun ini.

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir berkata jumlah tersebut meliputi pekerja pembersihan dan kakitangan sokongan.

“Kita ada 500 lori RORO yang digerakkan jika berlaku banjir dan setiap kenderaan itu mempunyai tiga pekerja pembersihan termasuk pemandu yang menjadikannya seramai 1,500.

“Selain itu, kita ada kakitangan seramai 300 ke 350 orang. Mereka semua siap sedia untuk digerakkan ke lokasi sekiranya berlaku banjir,” katanya pada 3 Oktober.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengenal pasti lapan daerah di Selangor sebagai lokasi kerap banjir iaitu Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.


Pengarang :