Team Selangor mengikuti kursus asas bencana kendalian APM baru-baru ini. Foto Team Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

700 sukarelawan Team Selangor sedia sertai misi bantuan banjir

SHAH ALAM,4 OKT: Seramai 700 sukarelawan Team Selangor sedia menyertai misi bantuan bagi menghadapi kemungkinan banjir hujung tahun ini, kata ketua sekretariatnya.

Syahaizel Keman berkata 200 daripada mereka telah menyertai kursus asas bencana dan anggota kendalian Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sejak awal tahun ini.

“Sukarelawan mengikuti kursus ini supaya mereka dilengkapi dengan ilmu keselamatan sekali gus memudahkan mereka membantu mangsa banjir.

“Setakat ini, kursus sudah dijalankan di Kuala Selangor, Hulu Selangor, Ampang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Kajang.

“Jika berlaku bencana, semua sukarelawan ini akan dihantar ke setiap lokasi bencana mengikut keperluan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya kini sedang menunggu kelulusan daripada APM negeri berhubung pendaftaran di bawah Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT).

“Apabila berlaku bencana, biasanya sukarelawan tidak dapat masuk ke lokasi untuk membantu. Dengan berdaftar di bawah CDERT, sukarelawan dapat membantu APM dalam operasi menyelamat.

“Permohonan sudah dihantar sejak awal tahun lalu dan kini di peringkat akhir serta hanya menunggu kelulusan daripada APM negeri,” katanya.

Team Selangor yang ditubuhkan lima tahun lalu antara pasukan yang sering tampil membantu penduduk negeri ini dalam kesusahan.

Antara khidmat mereka beri termasuk bertugas di pusat vaksin negeri, membersihkan kediaman mangsa banjir selain menjalankan aktiviti gotong-royong bagi mengajak masyarakat memulihara alam sekitar.


Pengarang :