Anggota polis menunaikan tanggungjawab pada proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri Melaka di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka dekat Bukit Beruang pada 16 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

7,700 pegawai, anggota polis KL ditugas ketika PRU15

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Polis Kuala Lumpur akan menugaskan seramai 7,700 pegawai dan anggota polis bagi menghadapi penugasan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata jumlah berkenaan adalah daripada kekuatan keanggotan keseluruhan 8,700 polis Kuala Lumpur.

Beliau berkata 7,700 keanggotaan ini akan terlibat bertugas aktif di 288 pusat mengundi di Kuala Lumpur dan cuti mereka akan dibekukan apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan tarikh PRU15.

“Jumlah 1,000 keanggotaan pula untuk tugas-tugas lain seperti untuk rondaan, jenayah dan urusan pentadbiran dan bencana.

“Selain itu, kami juga akan sentiasa berhubung dengan Bukit Aman jika perlu bantuan untuk penugasan pusat-pusat undi (penambahan keanggotaan jaga pusat undi) termasuklah bekerjasama dengan agensi kerajaan lain untuk penugasan bencana banjir kilat,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Azmi berkata pihaknya juga perlu bersiap siaga untuk banjir kilat dalam memastikan tiada mangsa yang terperangkap dalam banjir itu.

Pada Selasa lepas, SPR mengumumkan bahawa akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan menentukan PRU15 pada 20 Okt ini.

-BERNAMA

 


Pengarang :