Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei pada sidang media kerjasama Kumpool dan DUN Kampung Tunku di Petaling Jaya pada 9 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN Kampung Tunku: Langkah tidak bubar DUN tepat, tumpu persediaan bah

PETALING JAYA, 12 OKT: Keputusan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor seperti pembubaran Parlimen adalah langkah tepat demi menjaga kebajikan rakyat.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei berkata biarpun keputusan itu agak mencabar tetapi ia perlu dalam persediaan menghadapi monsun timur laut dan air pasang besar.

“Kerajaan Negeri kena fikirkan tentang kebajikan rakyat dan tidak adil kalau kita memaksa rakyat keluar mengundi sekiranya dalam kawasan dilanda banjir.

“Bagaimanapun, jika kekal tidak bubar DUN, saya berharap Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dapat membubarkan sekali,” katanya dalam sidang media Kejohanan Ragbi Wanita Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) 2022 (Piala ADN Kampung Tunku) hari ini.

Semalam Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor memberi perkenan supaya DUN tidak dibubarkan seperti pembubaran Parlimen.

Dato’ Menteri Besar berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mahu pentadbiran ini diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan keputusan tersebut dicapai selepas menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) pada 5 Oktober memutuskan tiga negeri tadbirannya iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubar DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.


Pengarang :