Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2022 sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda di Istana Negara pada 6 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong jalani pemeriksaan kesihatan susulan di IJN

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjalani tatacara dan pemeriksaan kesihatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) selama beberapa hari, bermula hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata baginda akan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara setelah menjalani pemeriksaan kesihatan itu yang dijangka selesai hujung minggu ini.

“Adalah dimaklumkan juga bahawa kesihatan Seri Paduka Baginda secara amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan,” katanya.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah dijadualkan menjalani tatacara itu pada pertengahan September lepas tetapi ditangguhkan.

Beliau berkata penangguhan itu berikutan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke London, United Kingdom selama lima hari bermula 16 Sept lepas bagi menghadiri Istiadat Pemakaman Negara Ratu Elizabeth II.

“Seluruh rakyat diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda menjalani tatacara tersebut serta pemeriksaan kesihatan susulan dengan lancar dan Baginda dikurniakan keafiatan yang berpanjangan,” kata Ahmad Fadil.

-BERNAMA


Pengarang :