Beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah mara ke perlawanan akhir kejohanan badminton Terbuka Perancis selepas menewaskan gandingan Korea Selatan Baek Ha Na-Lee So Hee pada 29 Oktober 2022. Foto Facebook BAM
AGENDANASIONAL

Agong, Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada Pearly-Thinaah

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada pemain badminton negara Pearly Tan-M. Thinaah atas kejayaan mereka melakar sejarah sebagai beregu wanita Malaysia pertama menjuarai Terbuka Perancis 2022, semalam

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada beregu wanita utama negara itu.

Menurut catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan cemerlang itu yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Pencapaian Pearly Tan dan M. Thinaah telah sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

“Ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,” menurut Istana Negara.

Menurut catatan itu, Seri Paduka berdua menzahirkan selamat maju jaya kepada Pearly dan Thinaah, selain mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan cemerlang yang berterusan.

Pada aksi final di Stade Pierre de Couberti, pasangan itu mengalahkan juara dunia dua kali Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun 21-19, 18-21, 21-15.

Kemenangan tersebut ialah gelaran kedua dan kejayaan terbesar pasangan nombor 11 dunia itu dalam siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia selepas menjuarai Terbuka Switzerland, Mac tahun lepas.

– BERNAMA


Pengarang :