Ejen kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim (dua, kanan) mengaminkan doa sekembalinya ke pangkuan keluarga pada 3 Okt 2022 selepas lebih 20 hari diculik ke negara jiran. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Air mata gembira sambut kepulangan ejen kosmetik diculik ke Thailand

KOTA BHARU, 3 OKT: Ejen jualan produk kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim yang diculik sekumpulan lelaki di rumahnya di Tumpat, dekat sini pada 13 Sept, hari ini diserahkan polis kepada ahli keluarganya di Jalan Kelochor, di sini.

Kepulangan Rosnazirah, 36, disambut dengan tangisan kegembiraan oleh kedua ibu bapa serta anggota keluarganya yang lain, termasuk anak perempuannya yang berusia 13 tahun.

Turut mengiringi ketibaan mangsa adalah Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun serta pegawai-pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Muhamad Zaki berkata dengan penyerahan mangsa kepada keluarganya, kes dianggap sudah selesai dan kejayaan itu menunjukkan kesepaduan masyarakat dalam menangani permasalahan seperti ini.

“Ini adalah kejayaan hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan, Bukit Aman dan rakan setugas dari negara jiran.

“Kita tahu mangsa ditahan penculik melebihi 20 hari dan mungkin pengalaman dialami mangsa meninggalkan kesan emosi dan kejutan kepadanya. Sebaiknya kita berilah ruang kepadanya dan keluarga buat masa sekarang,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan mangsa kepada keluarganya hari ini.

Jelasnya, polis akan terus membantu mangsa termasuk bantuan di segi psikologi dan berharap agar masyarakat jangan memperkatakan hal yang negatif melibatkan mangsa.

Katanya, orang ramai perlu mengambil iktibar daripada kejadian ini dan berharap perkara sama tidak menimpa ke atas orang lain.

“Apa yang penting kita berikan ruang kepada mangsa dan keluarga untuk menenangkan diri,” katanya.

Dalam kejadian 13 Sept lepas, mangsa diculik oleh beberapa lelaki dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat pada jam 5.10 petang.

Mangsa disyaki dilarikan ke negara jiran melalui pangkalan haram di Kuala Jambu, Tumpat ekoran penemuan kereta yang digunakan suspek.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dalam kenyataan sebelum ini berkata mangsa diselamatkan melalui kerjasama dan perkongsian maklumat dan perisikan antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand yang berjaya mengesan lokasi keberadaan mangsa di negara itu.

-BERNAMA


Pengarang :