Penguat kuasa Pejabat Tanah dan Daerah Klang membuat pemantauan fenomena air pasang besar di kunci air Sungai Sireh, Kampung Delek pada 9 Oktober 2022. Foto Facebook Pejabat Tanah/Daerah Klang
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Air pasang besar: Tiada kediaman di Klang dinaiki air pagi tadi

SHAH ALAM, 9 OKT: Tiada kawasan kediaman di sekitar Klang dinaiki air susulan fenomena air pasang pagi tadi.

Menerusi Facebook Pejabat Daerah/Tanah Klang memaklumkan paras kunci air dan sungai berdekatan kawasan titik panas (hotspot) juga berada pada paras biasa dan selamat.

Pemantauan dilakukan antara jam 5 hingga 8 pagi tadi membabitkan kawasan kunci air Sungai Sireh, Kampung Delek, kunci air Sungai Sireh pengkalan Pelabuhan Klang, kunci air Sri Muda dan Pengakalan Nelayan Tok Muda.

“Di kawasan kunci air Sg. Sireh, Kg Delek dan kunci air Sungai Sireh pada jam 5.30 pagi, tinjauan mendapati paras air berada dalam situasi tidak membimbangkan serta selamat dan terkawal.

“Di Pengkalan Pelabuhan Klang terdapat sedikit limpahan air pasang besar dari laut manakala di kunci air Sri Muda dan Pengakalan Nelayan Tok Muda paras air pada tahap selamat dan terkawal,” maklumnya.

Tinjauan penguat kuasa pejabat itu juga mendapati ban/benteng di kawasan berkenaan masih dalam keadaan baik.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) fenomena air pasang besar dijangka berlaku di beberapa kawasan sehingga Khamis ini.

Kawasan yang diramal terlibat adalah Kuala Muda, Kedah; Bagan Datuk, Perak; Pelabuhan Klang, Selangor serta Batu Pahat dan Pontian di Johor.


Pengarang :