AGENDANASIONAL

Amaran hujan lebat babit lima daerah di Selangor hingga 6 petang

SHAH ALAM, 13 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 6 petang ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan keadaan tersebut dijangka berlaku di negeri ini di daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat dan Sepang.

Situasi sama diramal di seluruh Perlis, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Manakala Kedah melibatkan Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu; Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong) serta Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Kota Tinggi).

Sarawak pula di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman) dan Betong (Pusa dan Betong).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :