Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama jentera parti ketika majlis pelancaran Jentera HARAPAN Kapar, Klang dan Kota Raja serta Taklimat Ejen Tempat Mengundi di Dewan Serbaguna Taman Sentosa, Klang pada 23 Oktober 2022 . Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Amirudin ingatkan jentera mula gerak kerja pastikan rakyat keluar mengundi

KLANG, 23 OKT: Jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) diingatkan untuk segera memulakan gerak kerja memastikan rakyat keluar mengundi dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keberhasilan memastikan pengundi menjalankan tanggungjawab mereka adalah kunci penting kejayaan parti.

“Biarpun berdepan dengan kegagalan dalam beberapa pilihan raya negeri, saya percaya masih ada peluang besar untuk menang dalam PRU15 nanti.

“Namun, kita berdepan dengan beberapa cabaran tetapi kekuatan jentera adalah kunci penting. Jentera perlu menjadi penggerak untuk keluarkan pengundi dengan mengumpulkan mereka,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis pelancaran Jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) Kapar, Klang dan Kota Raja serta Taklimat Ejen Tempat Mengundi di Dewan Serbaguna Taman Sentosa, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berucap pada majlis pelancaran Jentera HARAPAN Kapar, Klang dan Kota Raja serta Taklimat Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Mengira Undi (Paca) di Dewan Serbaguna Taman Sentosa di sini, hari ini.

Pada masa sama, Amirudin turut mengingatkan jentera supaya tidak lagi berbincang dan mempertikai isu calon selepas pengumuman dibuat nanti.

“Pimpinan mengambil masa panjang untuk mendapatkan senarai siapa berminat dan cadangan calon daripada negeri serta cabang sebelum presiden HARAPAN membuat keputusan.

“Kalau tidak buat keputusan dan asyik berbincang akhirnya kita terlepas penamaan calon. Sudah tidak berguna, jadi kita ‘move-on’ dan kuatkan jentera,” katanya.

Jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) memegang plakad tertera tulisan ‘Gempur HARAPAN’
ketika majlis pelancaran Jentera HARAPAN Kapar, Klang dan Kota Raja serta Taklimat Ejen Tempat Mengundi di Dewan Serbaguna Taman Sentosa, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :