Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru pada 26 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anggota trafik peras warga Singapura ditukar serta-merta

SHAH ALAM, 8 OKT: Seorang anggota polis trafik ditukarkan tugas serta-merta selepas didakwa terlibat dalam pemerasan terhadap warga Singapura pada 29 September lalu.

Kejadian itu dipercayai berlaku di jalan raya berhampiran Tambak Johor kira-kira jam 4 petang dan anggota tersebut kini dalam siasatan Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Kontinjen Johor, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata pihaknya mengesahkan kejadian pemerasan itu dan anggota polis trafik terlibat ditukarkan kepada penugasan yang tidak berurusan dengan orang ramai secara serta-merta.

“Kes ini juga sedang disiasat oleh JIPS untuk tindakan lanjut, termasuk siasatan daripada aspek penyeliaan.

“Polis Johor memandang serius perkara ini yang boleh mencemarkan nama baik dan reputasi serta imej pasukan polis.

“Siasatan dijalankan dan hukuman yang boleh dikenakan bermula daripada tugasan memenatkan sehingga boleh ditamatkan perkhidmatan dalam pasukan jika didapati bersalah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata, polis Johor sama sekali tidak akan bertoleransi atau berkompromi dengan mana-mana perbuatan oleh pegawai dan anggota yang menyalahi undang-undang serta etika sebagai penjawat awam.

Terdahulu, laporan berita sebuah portal Singapura melaporkan kejadian pasangan suami isteri mendakwa ditahan polis trafik di Johor Bahru atas kesalahan melanggar lampu isyarat dua kali dan meminta RM500 sebagai denda sebelum melepaskan mereka.


Pengarang :