Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama datuk bandar dan wakil kerajaan melafazkan ikrar Deklarasi Bandar Pintar Mampan ketika Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Selangor (SDEC) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anna Jobling, Diana Danielle meriahkan SDEC, sertai program bersama peniaga

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Pelakon terkenal, Anna Jobling dan Diana Danielle antara selebriti yang turut serta dalam program siaran langsung bersama peniaga e-dagang sepanjang Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC).

EXCO Perdagangan dan Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata seramai 100 peniaga terpilih akan membuat siaran langsung di Dewan Pameran SDEC, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

“Program yang dipanggil Festival ‘Livestream’ itu juga menawarkan Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM). Peniaga ini akan bersaing dan menjual produk mereka bermula 6 hingga 9 Oktober,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian SDEC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Top ECM yang dianjurkan Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) itu menawarkan hadiah wang tunai RM60,000. Siaran langsung peniaga itu boleh ditonton di Facebook rasmi Sidec bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

Program itu mendapat kerjasama Affin Bank Berhad sebagai penaja utama sementara Subplace menjadi platform e-dagang rasmi dan Federal Express Services (FedEx) Malaysia, rakan logistik rasmi.

SDEC antara enam acara utama di bawah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS). Selain itu, turut dianjurkan Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE), Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC), Ekspo Penyelidikan serta Pembangunan dan Inovasi Selangor (SRIE) serta Ekspo Taman Perindustrian Selangor (Spark).

 


Pengarang :