Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai tangan kepada penyokongnya pada majlis pengumuman calon KEADILAN di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Kosas, Ampang pada 28 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Anwar: Calon mesti ‘gegar parlimen’, juarai isu rakyat jika menang

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

AMPANG, 29 OKT: Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengingatkan semua calon parti itu supaya menjadi suara rakyat dalam parlimen jika menang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mereka mesti menyuarakan hasrat dan aspirasi perjuangan rakyat yang menjadi keutamaan majoriti rakyat di negara ini.

“Jadi pemimpin dan wakil rakyat bercakap di parlimen, gegarkan parlimen bagi pihak rakyat yang ramai ini.

“Bukan bagi pihak tauke balak, golongan kaya, pemodal besar,” katanya dalam majlis pengumuman 72 calon KEADILAN di Taman Kosas di sini malam tadi.

Calon-calon KEADILAN untuk Sabah dan Sarawak akan diumumkan masing-masing di Kota Kinabalu dan Miri minggu depan.

Menegaskan kepentingan rakyat adalah perjuangan parti, Anwar juga mengingatkan calon supaya menghormati pimpinan cabang yang bekerja sejak puluhan tahun.

“Guna jentera yang ada, kalau hendak tambah, tambah dari luar. Jangan ambil jentera luar untuk ganti jentera yang sedia ada, tersinggung mereka,” katanya lagi.

Beliau yang juga pengerusi Pakatan Harapan mengakui sebahagian ahli parlimen terpaksa digugurkan meski mereka setia dan berjuang dalam parti untuk sekian lama.

“Saya tegaskan tidak mudah gugurkan beberapa ahli parlimen yang menjadi sahabat setia dan berjuang sekian lama, yang berkorban tenaga puluhan tahun.

“Tidak mudah menggantikan (dengan) orang baharu yang kadang-kadang belum belum teruji. Jadi, saya mahu ingatkan (calon) jangan rasa hebat. Belajar dan kerja sekuat mungkin,” katanya.


Pengarang :