Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di hadapan ribuan penyokong sempena Jelajah Mega Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor di padang Dewan Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor pada 26 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Anwar: KEADILAN hantar ‘panglima’ Selangor lawan di Gombak

KUALA SELANGOR, 26 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bakal bertanding di Parlimen Gombak pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata demikian ketika menyentuh perbuatan segelintir pemimpin parti yang khianat hingga mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.

“Itu kerja Amirudin-lah hendak jaga Gombak. Kita hantar panglima utama Selangor untuk berdepan di Gombak,” katanya disambut sorakan gemuruh dalam Jelajah Mega HARAPAN di sini malam ini.

Menjelaskan kenyataan itu bukan pengumuman rasmi, Anwar menambah perkara itu dibincang dengan Amirudin yang menyatakan kesanggupan untuk mempertahan kerusi berkenaan.

“Ini bukan pengumuman rasmi, (pengumuman) rasmi 28 (Oktober). (Malam ini) saya sudah bocor soalan.

“Saya bincang dengan Amirudin. Dia (Amirudin) kata saya panglima. Saya Insya-Allah mampu pertahankan,” katanya.

Kerusi Parlimen Gombak disandang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali selama tiga penggal sebelum bekas timbalan presiden KEADILAN itu mengalih sokongan dan bersama pemimpin lain membentuk kerajaan baharu menerusi Perikatan Nasional.

Azmin yang menang kerusi berkenaan dengan majoriti 48,721 pada PRU 2018 menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Ogos 2020.


Pengarang :