Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Buku SCRIPT – For A Better Malaysia di Dorset Grand Subang, Subang Jaya pada 2 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar lancar buku gariskan enam aspek bentuk negara maju

SUBANG JAYA, 2 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan buku SCRIPT-For a Better Malaysia yang menggariskan enam aspek utama bagi membentuk masa depan negara yang maju dan dinamik.

Aspek digariskan dalam naskhah tulisan ketua pembangkang merangkumi kemampanan (sustainability), belas kasihan (caring), hormat-menghormati (respectful), inovatif (innovative), kemakmuran (prosperous) dan kepercayaan (trust).

Karya terbitan Institut Darul Ehsan (IDE) dengan kerjasama Pusat Dasar Pascanormal dan Kajian Masa Depan (CPPFS) turut menekankan dasar rangka kerja bagi memenuhi keperluan serta potensi masa depan negara.

Selain itu, naskhah setebal 180 halaman menggariskan pendekatan bagi pemulihan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu.

Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani Buku SCRIPT – For A Better Malaysia selepas melancarkan buku tersebut di Dorset Grand Subang, Subang Jaya pada 2 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pada masa sama mengajak orang ramai terutama pemerintah supaya mengambil iktibar daripada wabak selain memperbetulkan kegagalan ketika mengurus pandemik dan bersedia mendepani apa jua halangan pada masa akan datang.

Buku tersebut turut menyentuh soal krisis ekonomi negara termasuk kos sara hidup, inflasi dan keselamatan makanan negara.

Beberapa langkah juga dicadangkan bagi membina negara yang lebih baik antaranya mengurangkan gaji dan perbelanjaan menteri serta merangka pelan strategik dalam portfolio setiap menteri.

Cadangan lain antaranya mengkaji semula projek yang sedang berjalan mengambil kira faktor kos dan kesan terhadap alam sekitar di samping memansuhkan tol kepada rakyat berpendapatan rendah (B40) dengan menyediakan pas tol digital.


Pengarang :