Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) mengumumkan senarai calon berprofil tinggi untuk mewakili Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dalam sidang media di ibu pejabat KEADILAN di Petaling Jaya pada 26 Oktober 2022. Foto YUISR YUS/SUARA KEADILAN
AGENDANASIONAL

Anwar: Nik Omar Nik Aziz wakili KEADILAN tanding di Perak

PETALING JAYA, 26 OKT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menamakan Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai salah seorang calon mewakili parti itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan anak kepada bekas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu akan bertanding di Perak, namun tidak menyebut parlimen mana.

“Beliau akan bertanding di Perak. Senarai penuh calon mewakili kuota KEADILAN akan diumumkan Jumaat ini,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat KEADILAN di sini hari ini.

Nik Omar, mantan yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia merupakan lulusan Universiti Al-Azhar bidang usuluddin hadith dan memiliki sarjana dalam syariah di Universiti Yarmouk, Jordan.

Anak kedua daripada 10 adik-beradik itu kini calon doktor falsafah di Universiti Pattani, Thailand.

Enam calon lain yang turut dinamakan untuk mewakili KEADILAN seperti berikut:

  1. Datuk Zainal Azman Abu Seman – mantan pegawai kanan perkhidmatan awam (bertanding di Perak)
  2. Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan – mantan naib canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (bertanding di Pahang)
  3. Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz – pensyarah kanan di Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (bertanding di Wilayah Persekutuan)
  4. Saipolyazan Yusop – mantan ketua pegawai eksekutif Lembaga Zakat Selangor (bertanding di Selangor)
  5. Jufitri Joha – bekas presiden Majlis Belia Malaysia (bertanding di Negeri Sembilan)
  6. Fathin Amelina Fazlie – calon muda dalam kalangan siswa (bertanding di Perlis)

Pengarang :