Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Jelajah Pakatan Harapan (HARAPAN) Pahang #MohTukor di Pusat Khidmat DUN Mentakab, Pahang pada 19 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar: Pilih pemimpin betul, rampas semula gelaran ‘Harimau Asia’

MENTAKAB, 20 OKT: Malaysia mampu merampas semula gelaran ‘Harimau Asia’ dalam kedudukan ekonomi jika rakyat memilih pemimpin yang betul pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui negara hilang gelaran berkenaan selain kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di belakang Vietnam dan Thailand.

“Semasa saya jadi menteri kewangan, pertumbuhan KDNK sembilan hingga 10 peratus setahun. Pelaburan antarabangsa dan bursa saham nombor satu bersaing dengan Singapura, sekarang (Malaysia) nombor satu rasuah,” tegasnya.

Berucap pada Jelajah HARAPAN Pahang di sini malam tadi, beliau turut menyoal kemungkinan calon perdana menteri boleh memperbetul semula keadaan itu dan membawa keyakinan peringkat antarabangsa.

“Tidak boleh cakap bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik tidak mengapa tetapi mesti ada keupayaan menarik perhatian dunia bahawa Malaysia boleh diangkat semula sebagai Harimau Asia,” katanya.

Anwar yang juga pengerusi HARAPAN turut menyentuh jurang pendidikan murid sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil yang harus ditambah baik.

Pada masa sama, beliau juga menyuarakan isu kesihatan awam di negara ini yang gagal diurus dengan baik terutama ketika pandemik Covid-19.

 


Pengarang :