Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir majlis pengumuman calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Kosas, Ampang pada 28 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Anwar: PRU15 peluang terbaik rakyat ubah peta politik negara

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

AMPANG JAYA, 29 OKT: Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) adalah peluang terbaik rakyat untuk mengubah peta politik negara, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat perlu memanfaatkan ruang ini untuk menentang orang berkuasa yang tamak.

“Tolonglah ini peluang terbaik yang ada untuk untuk kita mengubah peta politik negara kita. Yang saya janji hanya satu, untuk manfaatkan gunakan kuasa ini dan merubah pemikiran tentang (menentang) orang berkuasa, yang bongkak dan tamak haloba.

“Sebab itu di Ipoh saya umumkan (jika) ditakdirkan insya-Allah saya jadi perdana menteri saya mula dengan tidak usah ambil gaji. Elaun parlimen cukup, tak payah ambil gaji bulanan menteri,” katanya.

Anwar berucap ketika majlis pengumuman 72 calon parti KEADILAN di Padang MPAJ, Taman Kosas di sini malam tadi.

Ketua pembangkang berkata beliau malu untuk mengambil elaun Ketua Pembangkang sebanyak RM50,000 yang diperuntukkan kepadanya.

“Walaupun orang permainkan, ada ketua Wanita MCA dia kata Anwar bohong sebab pembangkang pun dia ambil elaun, ini orang kata buta hati buta perut. Saya tak ambil RM50,000 sebulan.

“Saya beritahu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (perdana menteri) saya kata terima kasih, saya tak boleh ambil RM50,000 sebab saya malu,” katanya.


Pengarang :