Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi bual bicara sempena Majlis Pelancaran Buku SCRIPT – For A Better Malaysia di Dorset Grand Subang, Subang Jaya pada 2 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar tekad bawa usul tangani kenaikan kos sara hidup dalam sidang Parlimen

SUBANG JAYA, 3 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim tekad membawa usul menangani kenaikan kos sara hidup dan kejatuhan mata wang negara dalam sidang Parlimen.

Ketua pembangkang berkata cadangan berkait harga ayam juga akan dikemukakan sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob enggan berbuat demikian.

“(Jika) perdana menteri tidak mahu, saya mahu bawa usul tentang kos sara hidup dan kejatuhan mata wang yang menyusahkan rakyat.

“Saya juga akan berbahas soal harga ayam,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku SCRIPT – For A Better Malaysia di Dorset Grand Subang di sini, semalam.

Pada 27 September lalu, Anwar menggesa kerajaan membawa usul khas menangani krisis kenaikan harga barang dan kejatuhan mata wang negara yang menjejaskan kehidupan rakyat.

Beliau memaklumkan sudah mengutus surat meminta Ismail Sabri selaku Ketua Majlis Dewan Rakyat bagi mengambil tindakan segera menangani krisis berkenaan.

Ahli Parlimen Port Dickson turut mencadangkan permasalahan itu diberi keutamaan untuk dibahas dalam minggu pertama sidang Parlimen.

Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14 dijadual bersidang selama 32 hari bermula esok hingga 29 November dengan pembentangan Bajet 2023 menjadi tumpuan utama.

Berdasarkan laman sesawang Parlimen, Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2023 itu bakal dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 4 petang, 7 Oktober.


Pengarang :