Jaguh trek negara Azizulhasni Awang (dua, kiri) beramah mesra bersama peserta CIMB Cycle Putrajaya di Dataran Putrajaya pada 21 April 2019. -Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Azizulhasni harap skuad negara raih pingat kejohanan dunia di Perancis

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang berharap skuad negara mampu membawa pulang pingat dari Kejohanan Dunia Trek di Saint-Quentin-en-Yvelines, Perancis pada 12 hingga 16 Oktober ini.

Jika impian juara dunia keirin edisi 2017 itu tercapai, Malaysia bakal kembali mempunyai wakil di podium Kejohanan Dunia selepas tiada pelumba negara menamatkan saingan di kedudukan tiga teratas pada edisi 2021 di Roubaix, Perancis.

“Memang saya harapkan mereka dapat buat yang terbaik untuk kembali dengan pingat. Saya yakin (pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022) Muhammad Shah Firdaus Sahrom mampu membawa pulang pingat.

“Pada masa sama, saya berharap (pemenang perak acara ujian masa Kejohanan Asia) Muhammad Fadhil Mohd Zonis untuk menang pingat, Insya-Allah,” kata Mohd Azizulhasni yang membawa pulang gangsa acara keirin dan pecut pada edisi 2020 di Berlin.

Malaysia turut diwakili Muhammad Ridwan Sahrom, serta pelumba wanita Anis Amira Rosidi, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Nurul Aliana Syafika Azizan pada kejohanan itu yang berlangsung di Velodrom Nasional – venue Olimpik Paris 2024.

Mohd Azizulhasni, 34, tidak menyertai kejohanan itu kerana belum memulakan aksi kompetitif selepas menjalani pembedahan pada April lepas berikutan masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA). – BERNAMA


Pengarang :