Kejadian ban pecah mengakibatkan pekan Tanjong Karang dinaiki air pada awal pagi 11 Oktober 2022 yang dikongsikan penduduk. Foto Facebook Hafiz Sarjan
AGENSISELANGOR

Ban pecah akibatkan pekan Tanjong Karang dinaiki air

SHAH ALAM, 11 OKT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan kejadian ban pecah di dua lokasi sekitar Tanjong Karang sekitar 7 pagi tadi.

Pengarahnya berkata lokasi terjejas ialah Pekan Tanjong Karang dan Jalan Masjid Baroh, yang menyebabkan limpahan air naik ke jalan raya dan kawasan benteng, lapor Berita Harian.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat ban pecah susulan kerja-kerja menaik taraf benteng. Pada masa sama, paras air di sekitar lokasi pada kedalaman antara 0.3 hingga 0.9 meter,” kata Norazam Khamis.

Bagaimanapun, katanya, tiada pemindahan mangsa dilakukan setakat ini dan pihaknya akan memantau keadaan itu daripada semasa ke semasa bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.

Sebelum ini, tular di Facebook gambar dan video yang memaparkan situasi limpahan air di dua lokasi sekitar Tanjong Karang.


Pengarang :