Beberapa peniaga memeriksa barangan mereka di Pasar Awam Padang Mat Sirat, Langkawi yang dinaiki air ketika tinjauan pada 16 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir Langkawi, jumlah mangsa di pusat pemindahan terus meningkat

SHAH ALAM, 19 OKT: Jumlah mangsa banjir di Langkawi yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara meningkat kepada 61 orang pada hari keempat kejadian, setakat 8.30 pagi tadi.

Pegawai pertahanan awam Langkawi memaklumkan mangsa yang berada di Dewan Syifa, Padang Matsirat membabitkan 17 keluarga terdiri 34 lelaki dan 27 wanita, lapor Berita Harian.

Menurut Ahmad Shahfikri Darus, pertambahan 12 mangsa hari ini melibatkan Kampung Bohor Masjid berikutan kediaman mereka dinaiki air susulan hujan berterusan sejak semalam.

“Mereka (yang lain) dari lima kampung iaitu Kampung Atas, Limbung Putra, Buluh Penyumpit, Bukit Kemboja dan Bohor Masjid,” katanya menambah Langkawi diramal hujan renyai sebelah petang.

Beliau menambah orang ramai yang mengalami kecemasan jika rumah dinaiki air, pokok tumbang atau tanah runtuh boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah di talian 04-9611474.

Lebih 31 kawasan di Langkawi terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi Ahad selain kejadian pokok tumbang menghempap bumbung rumah dan jalan.

Pada hari sama juga, 43 pendaki dan seorang jurupandu yang melakukan aktiviti di kawasan rekreasi air terjun Telaga Tujuh berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian kepala air.


Pengarang :