Suasana di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kenanga Majlis Bandaraya Shah Alam Seksyen 28 Shah Alam yang menempatkan 44 keluarga mangsa banjir dari Bukit Lanchung pada 8 Mac 2022. Foto BERNAMA
PBTSELANGOR

Banjir: MBSJ warta 60 dewan, balai masyarakat jadi PPS

SUBANG JAYA, 6 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mewarta sebanyak 60 pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai persiapan menghadapi fenomena Monsun Timur Laut.

Pewartaan balai masyarakat dan dewan membabitkan 22 di Seri Kembangan, Kinrara (15), Subang Jaya (10), Serdang (sembilan) manakala Batu Tiga serta Kota Kemuning masing-masing dua.

Datuk Bandarnya Dato’ Johary Anuar berkata semua PPS terbabit berada dalam kesiapsagaan untuk menempatkan mangsa sekiranya berlaku situasi luar jangka.

“Kita juga mengenal pasti tiga lokasi sebagai pusat bekalan makanan iaitu di Dewan Puchong Indah, Dewan Puchong Prima dan Dewan Kamelia Putra Height untuk diagih ke PPS melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Ini kerana berdasarkan pengalaman banjir tahun lalu, pusat bekalan makanan kita hanya di Sungai Buloh dan berlaku sedikit kekangan berikutan tidak sempat diagih ke PPS selain terperangkap di jalan yang dinaiki air,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas bengkel operasi bantuan bencana di Dewan Serbaguna MBSJ di sini semalam. Turut hadir Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Mazlan Wan Mamat.

Johary menambah selain 60 dewan dan balai masyarakat, pihaknya juga merancang menjadikan 79 sekolah milik kerajaan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu sebagai PPS.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Selangor mengalami peralihan monsun barat daya kepada monsun timur laut dengan kadar taburan hujan antara 100 hingga 400 milimeter (mm) bermula pertengahan bulan ini hingga Disember.


Pengarang :