Hujan lebat sejak jam 3 petang menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang dilanda banjir kilat pada 9 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir Sabah: 43 mangsa dipindah ke pusat pemindahan di Penampang

KOTA KINABALU, 10 OKT: Seramai 43 mangsa banjir daripada 13 keluarga dipindahkan di daerah Penampang, manakala banjir di Kota Kinabalu dan Tuaran semakin pulih setakat pukul 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua mangsa banjir itu dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kebudayaan Penampang yang dibuka pada 7.07 malam semalam.

“Bencana banjir akibat hujan lebat berterusan sejak petang semalam, dan pagi ini trend semasa banjir masih kekal.

“Paras air Sungai Moyoq (di Penampang) sehingga pukul 6 pagi tadi menunjukkan penurunan dan dalam keadaan terkawal. Pemantauan diteruskan sehingga kini,” menurut kenyataan itu.

Sektretariat turut memaklumkan hasil pemantauan di empat lokasi utama banjir di Kota Kinabalu iaitu Kampung Rampaian, Kampung Keliangau, Kampung Tebobon dan Jalan Sepanggar-Kampung Tebobon, didapati telah pulih sepenuhnya pagi ini.

Tinjauan Bernama di Telipok, Rugading dan Gayang yang dilanda banjir di Tuaran semalam juga mendapati situasi banjir semakin pulih.

Cuaca mendung pada pagi ini di Kota Kinabalu dan kawasan pantai barat Sabah, manakala Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca hujan di beberapa lokasi pada sebelah petang dan tiada hujan di sebelah malam di kawasan terlibat.

– BERNAMA


Pengarang :