Pengundi muda, Fatin Norfidiyana Rostam, 19, ketika mengundi bagi Dewan Undangan Negeri Larkin pada Pilihan Raya Negeri Johor di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan 1 Larkin, Johor Bahru pada 12 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bantu rakyat tangani banjir, tiga negeri HARAPAN enggan bubar DUN

SHAH ALAM, 5 OKT: Semua tiga negeri bawah pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak bersedia membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi memberi tumpuan membantu rakyat menghadapi kemungkinan banjir.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Presiden gabungan tersebut hari ini sewaktu desas-desus pembubaran Parlimen menimbulkan pelbagai reaksi termasuk tidak bersetuju pilihan raya umum diadakan hujung tahun.

“Majlis Presiden mengambil maklum laporan Jabatan Metereologi yang berkata bahawa fenomena La Nina dan Monsun Timur Laut hingga ke awal tahun depan bakal menyaksikan jumlah taburan hujan yang tinggi serta kemungkinan berlaku hujan lebat dan banjir di kebanyakan negeri,” kata gabungan tersebut dalam kenyataan bersama.

“Oleh itu, Majlis Presiden menerima pendirian Menteri-Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan serta Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa Dewan-Dewan Undangan bagi negeri-negeri tersebut akan dibubarkan pada tahun 2023, pada satu tarikh yang akan diumum kelak.”

Kenyataan tersebut dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Datuk Seri Panglima Madius Tangau.

HARAPAN juga menjelaskan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang mempertingkat tahap kesiapsiagaan negeri masing-masing bagi menghadapi musim banjir sesuai dengan prinsip mengutamakan nasib rakyat berkaitan nyawa dan harta benda.

Desas-desus pembubaran Parlimen minggu ini bermula selepas mesyuarat pemimpin Umno yang mendesak perdana menteri mengadakan pilihan raya segera. Namun sebilangan pemimpin kanan parti kerajaan pusat tidak bersetuju pilihan raya dibuat tahun ini.


Pengarang :