Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor 2021 Daerah Sabak Bernam sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 15 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bantuan blueprint permudah operasi perniagaan, tingkat hasil jualan

SABAK BERNAM, 15 OKT: Penerima bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan menyifatkan inisiatif Kerajaan Negeri itu memudahkan operasi dan meningkatkan hasil jualan mereka.

Tukang jahit pakaian dan pembuat songkok Kamarudin Yusof,58, berkata sebelum ini proses menjahit agak sukar kerana mesin jahit sedia ada bersaiz kecil dan bergerak perlahan.

“Contohnya seperti membuat songkok, mesin lama agak rendah dan kecil sehingga proses pembuatannya mengambil masa agak lama. Dengan adanya mesin baharu ini nanti, proses membuat songkok lebih mudah.

Tukang jahit songkok, Kamarudin Yusof 58

“Alhamdulillah, bantuan daripada Kerajaan Negeri memudahkan proses menjahit sekali gus meningkatkan pendapatan jualan,”katanya ditemui pemberita di Jelajah Selangor Penyayang daerah Sabak Bernam hari ini.

Sementara itu, peniaga air soya, Siti Aisah Jumberi,55, berkata bantuan mesin yang bakal diterimanya itu membantu meningkatkan kuantiti penghasilan produknya.

“Menerusi mesin baharu ini, saya jangka dapat menghasilkan 50 kilogram air soya setiap hari berbanding lima kilogram dengan menggunakan mesin lama.

“Malah, dengan adanya mesin baharu ini memudahkan proses menghasilkan air soya dalam bulan Ramadan kerana tempahan diterima agak banyak,”katanya yang menjalankan perniagaan air soya sejak 10 tahun lalu.

Terdahulu, menerusi jelajah tersebut, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan bantuan blueprint kepada lima peniaga di daerah Sabak.

Peniaga air soya, Siti Aisah Jumberi 55

Menerusi program tersebut, sejumlah RM409,450 diperuntuk untuk bantuan blueprint bagi daerah Sabak Bernam pada tahun ini.

Fasa kedua jelajah bermula hari ini di Sabak Bernam bertemakan Menjana Ekonomi Manusiawi dengan memperkenal pelbagai inisiatif baharu dan ditambah baik untuk rakyat.

Pada 22 dan 23 Oktober, jelajah diteruskan di Klang dekat Padang Sultan Sulaiman, Klang bertemakan Membina Keluarga Penyayang manakala di KIP Sentral, Sepang pada 29 dan 30 Oktober dengan tema Menjamin Kehidupan Bermartabat.

Sementara pada 5 dan 6 November, acara tersebut dijadual berlangsung di Persiaran As Salam, Hulu Selangor bertemakan Membudaya Kesihatan Berkualiti.


Pengarang :