Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura RM10,000 kepada Pengerusi Masjid Dato’ Dagang Norasikin Selamat dalam Program Ramah Mesra Dato’ Menteri Besar Selangor Bersama Penggerak Masjid Daerah Klang sempena Jelajah Selangor Penyayang di Masjid Kampung Dato’ Dagang, Kampung Jawa, Klang pada 22 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bantuan MBI permudah proses baik pulih masjid, selesakan jemaah

KLANG, 23 OKT: Jemaah Masjid Kampung Dato’ Dagang di sini dapat beribadah dengan selesa apabila institusi itu akan dibaik pulih selepas menerima suntikan dana Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Pengerusinya Norasikin Selamat, 54, berkata kerja penyelenggaraan masjid berusia 146 tahun dan tertua di Selangor itu akan dimulakan dalam masa terdekat dengan pembaikan struktur bumbung yang kerap bocor selain tandas.

“Sejak didirikan pada 1876, banyak struktur di masjid ini uzur dan rosak. Malah sepanjang tempoh itu, proses penyelenggaraan dilakukan sedikit demi sedikit berikutan kekurangan dana.

“Kami menyuarakannya kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Dato’ Menteri Besar berhubung perkara itu. Alhamdulillah, ia diberi perhatian dan MBI tampil beri sumbangan. Kami amat menghargai bantuan ini dan Insya-Allah kerja pelaksaannya akan dibuat dengan kadar segera,” katanya.

Pengerusi Masjid Kampung Dato’ Dagang Norasikin Selamat. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Terdahulu, sumbangan berjumlah RM10,000 dalam bentuk cek cura diserahkan Dato Seri Amirudin Shari kepada Norasikin sempena program bersama penggerak masjid daerah Klang di sini semalam.

Sementara itu, Nazir Masjid Al-Muhsinin, Sungai Kandis Mohd Azlan Mohd Yusof, 60, terharu menerima bantuan dengan jumlah sama bagi menampung kos pengubahsuaian van biasa kepada van jenazah.

Menurutnya, van tersebut sudah ditempah dan dijangka siap dua bulan lagi sebelum boleh digunakan untuk mengurus jenazah.

“Setakat ini kita dapat sumbangan daripada Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM50,000 tetapi dana masih kurang, jadi kami mohon kepada MBI. Alhamdulillah, terima kasih MBI kerana meluluskan permohonan ini.

“Mudah-mudahan usaha dan niat kami untuk memperkasa pengurusan jenazah di masjid ini dipermudahkan serta dirahmati Allah,” katanya.


Pengarang :