Wira Sudepja Rabu (kanan) bersama anaknya (berbaring) berehat selepas berbasikal dalam program dalam Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan Seksyen 14, Shah Alam pada 16 Oktober 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Bapa teruja dapat bawa anak OKU berbasikal sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan

SHAH ALAM, 17 OKT: Seorang bapa berpeluang membawa anak perempuan kelainan upaya merasai pengalaman berbasikal dan berlari dalam Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan Seksyen 14 di sini, semalam.

Wira Sudepja Rabu, 47, akui teruja melihat anaknya yang berusia 14 tahun dapat melakukan aktiviti bersama individu normal dalam program yang menjadi sebahagian daripada acara sempena Ulang Tahun ke-22 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Kadangkala acara besar seperti ini memang susah kita bawa anak istimewa apatah lagi untuk kayuh basikal dan berlari, melainkan jika ada program khusus bagi golongan ini.

“Tetapi program ini lebih terbuka, jadi kami datang bawa semangat kebersamaan. Anak-anak istimewa boleh bersama individu normal dan beraktiviti tanpa halangan,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, Rehan Aida Roselan, 36, berkata dia membawa dua anaknya yang masing-masing berusia lapan dan lima tahun mencuba aktiviti memanjat dinding buatan buat pertama kali.

“Sebelum ini mereka tidak pernah main aktiviti lasak seperti ini dan sekadar beriadah di taman berhampiran rumah pada setiap hujung minggu.

“Hari ini saya mahu dedahkan mereka dengan permainan, apatah lagi ia percuma dan susah cari di tempat lain. Sekurang-kurangnya boleh tingkat kecerdasan otot dan kurangkan perasaan takut mereka,” katanya.

Kanak-kanak mengambil bahagian dalam aktiviti memanjat dinding buatan sempena program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, Shah Alam pada 16 Oktober 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Siti Hajar Mohd Zaki, 22, pula mengakui seronok dapat melihat gelagat orang ramai menyertai pelbagai acara meski datang hanya untuk beriadah bersama empat rakannya.

“Kami datang ke sini sebenarnya sekadar untuk beriadah sambil bincang tugasan kolej dan secara kebetulan ada macam-macam aktiviti di sini.

“Kami tertarik dengan acara larian ‘Fun Run’ dan belon udara panas, insya-Allah kalau ada lagi kami mahu turut serta,” kata penuntut semester pertama jurusan perubatan dan pembedahan Management Science University (MSU).

Berlangsung dari jam 7.30 pagi, program itu menyediakan aktiviti seperti kayuhan santai, senamrobik, zumba, persembahan tarian kebudayaan, brassband, cabutan bertuah, kuiz dan memanah.

Turut diadakan aktiviti wall climbing, belon udara panas, ‘Eco Free Market’ selain perkhidmatan Shah Alam on Wheels, perpustakaan bergerak, pameran cari dan musnah Aedes.

Selain itu, pameran Pasukan Tindakan Segera (Pantas) MBSA, pameran kitar semula dan perkhidmatan saringan kesihatan.

Gelagat orang ramai yang menyertai larian Fun Run sejauh lima kilometer sempena program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, Shah Alam pada 16 Oktober 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Pengarang :